Bukan Wahhabi, bukan Syiah
oleh Mehdi Ilja
Seorang mufti kagum pada karya seorang sasterawan. Mufti itu Dr Mohd
Asri Zainal Abidin, dan sasterawan itu pula Faisal Tehrani.

Namun,
masing-masing ditohmah. Mufti itu ditohmah Wahhabi. Dan sasterawan itu
pula ditohmah Syiah. Tetapi, masing-masing juga menafikan.
Hari ini, buruknya agama telah disumbat dalam dua aliran: Wahhabi dan Syiah. Kasihan. Siapa yang telah menang?
Jelas,
tiada siapa yang menang. Malah, kedua-duanya barangkali telah lama
kalah. Wahhabi dan Syiah adalah lambang kepada sebuah pertarungan
panjang yang tidak pernah selesai. Tiada kesudahan.
Nah,
saksikan saja, sudah berapa ramai yang gugur kerana kerasnya
pertarungan mereka. Dari Najd hingga Kufah, darah tidak pernah berhenti
mengalir atas nama kebenaran mazhab.
Kini, rupa-rupanya masih
ada yang mahu membuka medan. Ada yang mahu bertempur di rantau baru,
yang jauh dari Hijaz? Malah, tekad mahu menarik pengaruh.
Tetapi kita semacam alpa. Di saat zaman berubah, nampaknya benak kita tetap sama. Kita langsung tidak berubah.
Hari ini, mari kita buat satu keputusan. Kita tegas untuk tidak bersimpati pada Wahhabi, mahupun pada Syiah.
Di mata kita, dua-duanya tidak lebih besar, atau lebih agung daripada nilai-nilai yang kita bina dalam diri kita.
Kita
mahu sebuah nilai yang memartabatkan rasa manusiawi kita, bukannya
sebuah nilai yang masing-masing mahu memiliki kalimah sesat dan
menyesatkan.
Ummah sudah penat. Ummah sudah tidak larat.
Apakah salah jika diizinkan ummah untuk mengejar kemanusiaan pula,
setelah lama kita bertarung atas nama ‘ketauhidan.’
Kerana,
apalah gunanya sebuah tauhid, jika ia diperoleh atas merahan darah.
Meraih kemutlakan tidak bererti kita menang. Tetapi, itulah tanda
pertama sebuah kekalahan.
"Mungkin inilah padahnya menjadi muslim." Begitu agaknya Richard Dawkins menyindir.