Akar umbi mahu pembelaan UMNO

Oleh Azman Anuar (WARTAWAN UTUSAN)

Putrajaya2bby2brem2bcopy Episod pelantikan Menteri-Menteri Besar telah selesai termasuk yang terakhir bagi Terengganu. Desas-desus kebimbangan mala petaka bakal menimpa UMNO jika pemilihan parti diadakan hujung tahun ini pun telah diputuskan.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO kelmarin menyahut suara akar umbi yang mahu pemilihan pucuk pimpinan diadakan tahun ini dan tidak ditangguhkan lagi ke tahun hadapan.

Setelah selesai sudah cerita pilihan raya, anggota jemaah Kabinet Persekutuan, pelantikan Menteri Besar, dan tuding-menuding siapa yang bersalah, kini menjelma pula soal rumah tangga UMNO yang perlu di baik pulih.

Sebelum ini, timbul polemik daripada barisan kepimpinan UMNO di peringkat kebangsaan mahupun bahagian yang saling cadang-mencadang sama ada perlu diteruskan atau tidak proses pemilihan UMNO untuk semua peringkat pada tahun ini.

Memandangkan pemilihan UMNO tetap diadakan pada 16-20 Disember 2008, barisan kepimpinan UMNO jangan hanya bijak mengatur agenda untuk merebut jawatan hujung tahun ini sahaja.

Pemerhati politik, Shaiful Bahri Saidin yang mengirimkan e-mel kepada penulis menggesa seluruh kepimpinan UMNO yang pintar dan cerdik wajib turun ke bawah bertemu akar umbi dengan segera. Perasaan ahli akar umbi parti itu bergelodak membara memikirkan arah mana perjuangan UMNO hari ini.

“Parti keramat UMNO bukan hanya untuk segelintir ahli sahaja. UMNO bukan platform untuk para pemimpinnya beradu tenaga dan berdebat untuk tampilkan siapa lebih hebat. Fikirkanlah harapan berjuta ahli UMNO masa kini yang teramat kecewa dengan suasana politik orang Melayu yang semakin keliru, serabut dan menyakitkan hati,” tulis Shaiful Bahri yang penulis kenali sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Setelah lebih tiga minggu tamatnya pilihan raya yang paling mengecewakan, ahli UMNO di peringkat akar umbi dan juga penyokong setia UMNO tetap mahu UMNO diperkasakan semula. Buang yang keruh ambil yang jernih. Terimalah hakikat bahawa UMNO kini tidak popular di kalangan orang Melayu.

Apakah suara kecil ahli UMNO yang mahukan perubahan dan melihat partinya kembali kukuh perlu diperlekehkan begitu sahaja? Pucuk pimpinan UMNO wajib merapatkan jurang beza pendapat antara para pemimpinnya dengan ahli akar umbi.

Dalam aspek ini, Shaiful Bahri mengajak pemimpin UMNO pergi membuat tinjauan sendiri ke peringkat paling bawah dalam hierarki organisasi UMNO iaitu cawangan-cawangan dan catat dan hayati semasak-masaknya apa yang mereka mahu luahkan.

Askar-askar UMNO yang berjawatan prebet biasa di medan tempur pilihan raya yang lalu banyak pengalaman pahit yang mereka tempuhi semasa ‘berperang’ selama 13 hari itu. Pemimpin UMNO mesti melihat perkara ini sebagai satu analisis dan kaji selidik mengapa UMNO semakin lemah?

UMNO tidak perlu berasa malu dan hilang darjat apabila sanggup mengakui parti keramat ini semakin mundur dan bakal pupus di bumi bertuah ini? Jangan terkejut apabila nama UMNO akan terpahat di dalam lipatan sejarah negara sahaja kerana ia sudah terkubur bersama-sama gelagat pemimpin yang enggan mengakui hakikat sebenar.

Bukan Shaiful Bahri sahaja yang berharap dan mahu melihat perpaduan orang Melayu kuat dan jitu kembali, tetapi ramai lagi. Bukan masanya selepas tiga minggu ini untuk individu menonjolkan diri bagaikan jaguh. Yang menang begitu takbur dan bongkak memberikan ulasan dan komen. Yang kalah dan digugurkan terus dipinggirkan seolah-olah mereka langsung tidak berguna lagi kepada UMNO.

Satu aspek lagi mengenai hubungan dengan pihak istana yang agak bercelaru. Apabila Lim Kit Siang secara terbuka mahu memboikot acara istana, sampai tegang urat leher pemimpin UMNO mempertahankan institusi istana.

Tetapi apabila orang UMNO sendiri membelakangkan keputusan istana untuk menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu, apa pula kata pembesar-pembesar UMNO?

Walau apa pun sebab dan alasan mengapa pihak istana tidak berkenan dengan pilihan parti pemerintah, kita sebagai rakyat jelata harus akur kerana perkara ini sudah termaktub di dalam undang-undang tubuh setiap negeri Melayu.

Menurut Shaiful Bahri lagi, kata-kata pemimpin UMNO yang tersiar di media arus perdana telah lama diperhalusi oleh ‘ikan bilis’ UMNO. Mereka melihat gelagat pemimpin mereka yang tidak bersatu dan bertelagah sesama sendiri.

Sesungguhnya ikan bilis UMNO teramat sangat kecewa melihat para pemimpinnya seperti sudah tidak berpadu, sudah tidak bertaring, tidak lagi ceria, hilang sengatnya dan sudah berubah gaya.

Akar umbi UMNO masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku di peringkat hierarki atasan mereka. Mereka mahu segera diberi penjelasan. Debat politik di kedai kopi dan warung di kampung telah lama memihak kepada pembangkang. Rakyat sudah tidak takut untuk memburuk dan mencela UMNO secara terbuka.

Siapa pula hendak membelanya? Hendak harapkan para pemimpinnya bertandang di warung kopi untuk menangkis debat hina kepada UMNO, jangan bermimpi.

Namun masih ada ikan bilis UMNO yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dan habuan politik masih sukarela dan sanggup menyabung nyawa membela UMNO dan menangkis serangan bertalu-talu daripada penyokong pembangkang. Apakah pemimpin atasan UMNO menyedari perkara sebegini sekarang atau sibuk mengatur strategi menjelang Disember nanti?

Perasaan Shaiful Bahri dan ahli akar umbi yang cukup setia dan sanggup mati bersama UMNO walau menjadi askar tanpa pangkat seolah-olah tidak dihargai langsung selepas pilihan raya oleh ‘panglima-panglima’ UMNO. Mereka inilah tentera di barisan paling hadapan sekali untuk bertempur dengan kata nista dan tohmahan bala tentera pembangkang.

Perjuangan mereka di medan peperangan kini tanpa haluan dan strategi perang yang jitu. Sebabnya para panglimanya masih sibuk hendak mengukuhkan kedudukan kerusi dan memperkasakan diri sendiri. Tidak kasihankah melihat bala tentera ini berperang tanpa haluan dan tujuan?

Apa akan jadi kepada UMNO jika bala tentera di medan perang itu berpaling tadah? Atau mereka berundur untuk memberikan laluan mudah tentera lawan untuk menakluk dan mencapai kemenangan mudah?

Terimalah hakikat bahawa hati ‘ikan bilis’ UMNO perlu dijaga. Jangan sampai mereka melakukan sesuatu yang paling luar biasa. Mereka sebenarnya berserabut dan hilang arah pedoman. Para pemimpin masih bercakaran dan tidak konsisten dalam memberikan arahan.

Golongan atasan UMNO perlu bergerak segera menangani kemelut orang Melayu di peringkat bawahan.

Ketepikan soal protokol dan budaya bodek dengan acara rasmi dan memaksa orang bawahan mengumpulkan orang ramai untuk menyambut pemimpin. Akar umbi sudah muak dengan taktik dan

gaya

membodek pemimpin yang sudah ketinggalan zaman ini.

Apakah perlu dibuat suatu majlis rasmi untuk pemimpin bertandang berjumpa dengan ikan bilisnya? Salahkah para pemimpin atasan ini berjumpa rakyat dan penyokong akar umbi secara bersantai dan mengejut sahaja dengan berjumpa mereka di mana-mana sahaja?

Malukah para pemimpin UMNO untuk bergaul dengan rakyat yang baru pulang dari laut, yang baru pulang dari kebun getah sedang minum di warung buruk di kampung? Atau hinakah para pemimpin UMNO untuk berjumpa dengan ahlinya yang tinggal di rumah setinggan yang masih mengibarkan bendera UMNO yang telah usang?

Mereka ini kabur tentang arah tuju parti keramat mereka. Mereka tahu kudrat mereka amat diperlukan semasa kempen pilihan raya dan kempen pemilihan parti. Tetapi mereka tidak serik menjadi ahli UMNO walau parti mereka sekarang ini mudah sangat dihina dan cerca.

Berjuta ahli UMNO masih setia setelah berpuluh tahun menjadi ahli. Mereka masih berpegang kepada prinsip tiada parti politik yang boleh membela mereka selain dari UMNO. Pada mereka Melayu adalah UMNO dan UMNO adalah Melayu. Pada mereka nama UMNO itu sendiri di dalam bahasa Melayu bermaksud Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

Wajarlah para pemimpin UMNO sekarang menerapkan kembali semangat perpaduan dan bersatu orang Melayu seperti di era 1946. Jangan pinggirkan pendapat dan komen akar umbi UMNO. Jelajahlah ke seluruh negara untuk memberikan semula keyakinan ahli UMNO terhadap parti.

Shaiful Bahri yang kini giat menjalani fisioterapi bagi memulihkan kudratnya untuk bergerak setelah diserang strok dua tahun lalu memberitahu penulis, UMNO kena belajar menerima kekalahan dan jangan hanya tahu menerima kemenangan sahaja. Jika kalah terima dengan hati terbuka, jangan menyalahkan sesiapa.

Kita malu apabila melihat pemimpin politik kaum lain yang lebih matang berpolitik. Mereka lebih matang sama ada mereka kalah mahupun menang. Di sebaliknya pemimpin UMNO tidak habis-habis dengan sikap suka menyalahkan orang lain.

Leave a Reply