Tidak berbaju bukan isu
Monday, January 21st, 2008Tidak berbaju bukan isu
KETIKA para moralis kita tiba-tiba sibuk bercakap tentang moral
penyanyi Faizal Tahir yang membuka baju semasa menyanyi, saya teringat
kembali isu Sofea Jane berkemban dalam filem Perempuan, Isteri dan
Jalang (1993). Dalam filem arahan U-Wei Haji Saari itu, Sofea berkemban
ketika mandi di sungai.
Di luar panggung, banyak yang menjadi ahli moral menganggap filem
itu menghina wanita. Salah satunya menonjolkan wanita dalam keadaan
berkemban. Tetapi dalam majlis-majlis hiburan sama ada disiarkan di
televisyen atau tidak, banyak juga wanita yang berkemban. Cuma mereka
tidak berkemban dengan kain batik tetapi dipergayakan secara lebih
moden. Ini tidak menjadi isu. Kenapa?
Saya percaya semua ini kerana sesetengah daripada kita tidak melihat
secara luas dan menyeluruh. Mereka melihat sesuatu isu pada sesuatu
masa saja. Sofea tidak boleh berkemban dengan kain batik tetapi kalau
diperbuat daripada kain yang lebih mahal barangkali tidak menjadi isu.
Maka mereka ini bukan prihatin fasal moral.
Apa isunya Faizal Tahir menyanyi dengan tidak berbaju? Secara jujur
apakah yang para moralis kita bangkitkan? Memang banyak baiknya kita
prihatin bab-bab moral seperti ini tetapi jangan memilih sesuatu isu
saja. Malah memang tidak elok menyanyi tanpa memakai baju.
Tetapi sejak bila stesen televisyen kita tidak boleh menyiarkan
lelaki yang tidak berbaju? Sejak bila persembahan pentas kita melarang
lelaki tidak berbaju atau hanya bercawat membuat persembahan? Stesen
televisyen kita selalu menyiarkan sukan bina badan dan kita tidak
pernah melihat lagi peserta sukan bina badan pakai baju.
Kita juga selalu melihat persembahan kesenian tradisi yang
menampilkan penari lelaki hanya bercawat. Penari tarian klasik India
juga tidak berbaju. Apabila kita semua senyap sebelum ini bermakna kita
telah menerima ini sebagai biasa. Adakah sekiranya Faizal diletakkan di
pentas bina badan, dia mesti memakai baju? Kalau kita menerima Faizal
tidak berbaju dalam sukan bina badan, isunya bukanlah tidak berbaju.
Isunya ialah persepsi. Kita tidak boleh menjadikan persepsi yang
selalu berubah-ubah itu sebagai peraturan segera. Ini bukan tidak adil
malah memperlihatkan pengendali dasar tidak ada pendirian yang boleh
dihormati. Kita sendiri tidak pasti apakah Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia (SKMM) mempunyai satu peraturan yang jelas mengenai ‘lelaki
tidak berbaju’ dalam program televisyen?
Jangan mengukur isu daripada kontroversi. Apabila tercetus
kontroversi maka isu itu dilihat berasingan daripada perlakuan lain
yang tidak menjadi bahan kontroversi. Maka arahan yang dikeluarkan
bolehlah dianggap seperti mi segera yang tiba-tiba saja dibuat sebagai
reaksi kepada kontroversi. Kalau kita mengakui Faizal tidak berbaju
sama seperti peserta bina badan atau penari yang hanya bercawat, tentu
kita tidak melayan kontroversi ini.