
SPR, Melayu perlu berubah
MUKADIMAH
PROGRAM Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih yang berakhir Ogos lalu mendapati
orang Melayu adalah yang tertinggi tidak mendaftar sebagai pemilih walaupun
pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan. Program tersebut menyasarkan 2.5
juta pemilih baru mendaftar bagaimanapun daripada 1.5 juta yang mendaftar
sebahagian besarnya adalah bukan Melayu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman
berkata, secara keseluruhannya usaha itu gagal menarik kaum bumiputera dan
orang Melayu untuk mendaftar sebagai pemilih.
Pendedahan SPR ini mencetuskan persoalan apakah orang Melayu tidak faham
kepentingan politik atau tidak yakin dengan sistem demokrasi yang diamalkan di
negara ini? Dengan pelbagai isu yang sering timbul sebaik saja selesai pilihan
raya, adakah sikap yang ditunjukkan oleh sesetengah orang Melayu terhadap
politik boleh dianggap sebagai protes kepada sistem? Adakah golongan yang tidak
mendaftar sebagai pemilih ini menganggap definisi demokrasi di negara ini ialah
“memangkah” tetapi bukan satu proses yang berterusan?
Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff
menganggap keadaan ini memperlihatkan sesetengah orang Melayu selesa dengan apa
yang ada.
Kata Dr. Mohammad Agus, dalam kajian yang dilakukan mendapati orang Melayu
di negeri-negeri yang majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan
Perlis mempunyai kesedaran politik yang tinggi berbanding Melayu di bandar.
“Golongan Melayu profesional di bandar secara umumnya tidak mempunyai
kesedaran politik yang tinggi kerana selesa dengan kemewahan yang dimiliki,”
tegas Dr. Mohammad Agus ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia KU
SEMAN KU HUSSAIN dan SITI MARIAM MD ZAIN Khamis lalu.
Beliau menegaskan, selain daripada golongan profesional Melayu mempertingkat
kesedaran politik, SPR juga wajar menilai semua tuntutan rakyat supaya
mewujudkan satu sistem pilihan raya yang telus dan saksama.
S) MINGGUAN: Apakah pendedahan SPR
ini sesuatu yang mengejutkan?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Saya tidak terkejut kerana banyak faktor menyumbang
keadaan ini. Dari satu segi, mereka berasa selesa dengan apa yang dinikmati.
Sikap selesa ini menjadikan mereka manusia apati (tidak berminat) pada politik.
Mereka juga tidak yakin dengan proses pilihan raya. Sistem pengundian yang ada
– undi pos, tidak menggunakan dakwat bagi mengelakkan pengundian dua kali dan
media yang didakwa tidak bebas, membawa persepsi bahawa pilihan raya tidak
bererti kerana akhirnya yang akan menang Barisan Nasional (BN).
S) Adakah ini bermakna orang Melayu
tidak tahu berpolitik dan faham kepentingan politik itu?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Bagi saya, orang Melayu faham perkara ini, apatah lagi
jika kita merujuk Melayu itu kepada orang Melayu di “the Malay heartland’’
seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Sejarah pilihan raya negara
membuktikan orang Melayu di negeri-negeri majoriti Melayu ini adalah yang
paling peka dan sedar tentang politik. Data pilihan raya menunjukkan mereka
paling ramai mengundi setiap pilihan raya dan membuang undi rosak paling
sedikit berbanding negeri-negeri lain. Ini menunjukkan tahap kesedaran
berpolitik di negeri-negeri majoriti Melayu cukup tinggi.
Bagi orang Melayu di negeri lain, terutamanya di bandar, saya setuju
menyatakan tahap kepekaan mereka kurang. Sebab itu ada di kalangan mereka tidak
merasakan keperluan tinggi untuk mengundi. Mereka lebih mengutamakan kerjaya.
Mereka seolah-olah meninggalkan soal mengundi bagi menentukan kuasa politik
kepada Melayu di kampung.
S) Apa yang mendorong kesedaran
berpolitik di negeri-negeri majoriti Melayu tinggi?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Negeri majoriti Melayu adalah negeri miskin, tiada
pembangunan pesat. Mereka melihat hanya politik yang boleh mengubah kemiskinan
dan membawa pembangunan. Justeru miskin, mereka senang dieksploitasi. Dengan
konsep hubungan ‘penaung-dinaung’, maka rakyat miskin ini sama ada sedar atau
tidak menjadi pengikut setia pemimpin yang menaungi mereka. Lama-kelamaan
faktor ini menjadikan mereka turut terlibat dan peka kepada isu-isu politik.
Satu lagi ialah politik di negeri majoriti Melayu melibatkan persaingan sengit
antara UMNO dan Pas. Persaingan ini menjadikan politik itu meriah. Kenapa?
Kerana politik di negeri ini ada persaingannya sedangkan di negeri-negeri lain
persaingannya berat sebelah.
S) Dakwaan sesetengah pihak bahawa
orang Melayu tidak ada kesedaran berpolitik tidak benar?
J)DR. MOHAMMAD AGUS: Kalau di negeri-negeri Melayu tadi, memang tidak benar.
S) Jika ini realitinya, bermakna di
bandar proses demokrasi ini semakin luntur?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Proses demokrasi di bandar luntur sejak dulu lagi
kerana inilah ciri bandar – masyarakatnya bersikap individualistik dan tidak
kisah, hatta pada jiran tetangga. Bila ini berlaku maka demokrasi mati. Sikap
ini diruntuhkan lagi kerana masyarakat bandar berpolitik melalui akhbar dan
media. Mereka tidak berpatisipasi dalam politik dengan cara melibatkan diri
secara langsung – mendengar ceramah atau berkempen seperti di luar bandar.
Berita politik masyarakat bandar ialah media, iaitu televisyen, akhbar dan
majalah. Sebab itu keceriaan dan kemeriahan politik di bandar tiada. Isu utama
masyarakat bandar pula melibatkan isu antarabangsa dan nasional, bukan isu
tempatan. Di luar bandar, isu tempatan, peribadi calon, imej parti, imej
perpaduan memainkan peranan besar dalam menentukan menang atau kalah sesuatu
parti. Pendek kata, proses demokrasi di bandar dan luar bandar jauh berbeza
biarpun kita dalam negara yang sama.
S) Mengapa ini mempengaruhi sikap
Melayu bandar?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Mereka tiada roh politik. Majoriti Melayu bandar
adalah penghijrah. Oleh sebab itu mereka mendaftar sebagai pengundi di kampung
dan bila tiba waktu mengundi, mereka balik mengundi. Yang tinggal cuma Melayu
Kuala Lumpur. Golongan ini berjawatan. Mereka masyarakat individualistik, tidak
menjaga tepi kain orang, tidak saling kenal-mengenali, bertegur sapa dan
sebagainya. Ini golongan profesional yang sukar didekati. Bagi mereka buat apa
keluar mengundi jika tahu parti mana yang akan menang? Bagi saya jika inilah
sikap dan pemikiran profesional Melayu kita di bandar, maka ia sesuatu yang
amat
malang
.
S) Kembali kepada pengundi Melayu,
mungkinkah Melayu di bandar kurang berminat mendaftar disebabkan memprotes
sistem yang ada?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Itu adalah salah satu dari faktornya. Mereka melihat
sistem kita tidak meyakinkan. Saya rasa, selepas 50 tahun merdeka, wajar sekali
bagi SPR menilai semula tuntutan rakyat supaya diwujudkan sistem pilihan raya
yang lebih adil dan saksama. Kedua, profesional Melayu bandar memahami
ilmu-ilmu sejagat berkaitan soal keadilan, demokrasi dan kebebasan. Mereka rasa
benda itu tiada dalam konteks pilihan raya dan pemerintahan. Keadaan ini barangkali
menyebabkan mereka tidak percaya pada pilihan raya dan ini mempengaruhi sikap
apati. Saya tidak pasti!
S) Bagaimana mahu meyakinkan mereka
bahawa sistem yang ada ini adalah adil dan telus?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Terdapat beberapa perkara segera yang perlu diberi
perhatian oleh SPR berkaitan dengan tuntutan untuk pilihan raya yang lebih adil
dan bebas. Pertama, SPR diminta menggunakan dakwat supaya orang tidak boleh
mengundi dua kali. Perkara ini mudah, negara dunia lain pun mengamalkannya.
Kedua, SPR diminta menggunakan peti undi lut sinar. Saya kira pada dasarnya SPR
bersetuju untuk melaksanakannya tetapi apakah terlaksana hal ini? Ketiga,
pemantauan SPR pada perjalanan pilihan raya harus adil kepada semua parti
bertanding. Keempat, penggunaan media harus lebih seimbang. Kalau SPR boleh
buat beberapa perubahan yang dikira perlu, maka saya fikir keyakinan rakyat
yang skeptik tentang perjalanan pilihan raya negara kita akan berubah.
S) Masalahnya berbalik kepada sistem?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Sistem kena diubah. Kenapa kita perlu memikirkan soal
mendaftar pengundi? Di Barat tidak timbul soal ini. Dengan kecanggihan
teknologi, apabila mencapai tahap umur tertentu, automatik mereka didaftar.
Jika ini dibuat, barulah kita memberi ruang kepada semua warganegara menjadi
pengundi berdaftar. SPR perlu memikirkan baik buruk hal ini.
S) Kumpulan atau kategori Melayu
bagaimana paling ramai tidak mendaftar atau mengundi?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Biasanya ialah profesional, intelektual dan
pegawai-pegawai kerajaan. Mereka merasakan kerja-kerja mengundi ini bukan kerja
mereka. Mereka sekadar menyuruh ‘anak buah’ sahaja keluar mengundi.
S) Mengapa?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Mereka tidak percaya kepada sistem, mengundi atau
tidak, keputusan itu seolah-olah telah disediakan. Mereka merasakan semua ini
hanya membuang masa.
S) Adakah ini tindakan yang betul?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Tidak betul kerana mereka tidak menggunakan hak
sebagai warganegara. Tambahan pula mereka ini intelek. Apa pun kita mesti tetap
bersama dalam sistem kerana kita tidak boleh mengatasi sistem. Kalau mahu
mengubah keadaan ini, kita kena ubah dengan cara mengundi memilih kerajaan yang
disukai bukan tidak mendaftar sebagai pengundi.
S) Isunya, golongan profesional ini
hanya pandai bercakap tentang ketidakadilan, ketelusan tetapi hanya setakat itu
sahaja?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Golongan profesional ada dua. Satu yang bersama
kerajaan dan satu lagi tidak. Golongan yang bersama kerajaan tetapi tidak
mendaftar atau mengundi adalah hipokrit. Ini kerana mereka mendapat nikmat dari
kerajaan tetapi tidak pernah kisah mengundi kerana parti menang atau kalah ia
tidak menjejaskan mereka. Golongan yang tidak bersama kerajaan pula hanya tahu
mengkritik dan mencari kesalahan orang, sedangkan mereka lupa peranan dan tanggungjawab
untuk mencorak landskap politik negara. Saya fikir golongan seperti ini yang
harus bermula dengan langkah pertama. Tidak guna jika hanya mendakwa diri
golongan profesional, mengkritik orang, sedangkan mereka tidak melaksanakan
tanggungjawab sebagai warganegara untuk mengundi. Gagal melaksanakan
tanggungjawab ini bermakna kita tidak menjalankan amanah negara.
S) Adakah pilihan raya kita sekadar
hendak menunjukkan adanya proses demokrasi itu?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Saya merasakan begitu – mahu menunjukkan demokrasi
tetapi pelaksanaannya tidak demokratik. Ini boleh dilihat dari proses pilihan
raya seperti dinyatakan tadi.
S) Mungkin pengertian yang difahami
demokrasi itu hanyalah pangkah, bukan proses ke arah itu?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Ini satu tanggapan salah. Demokrasi bukan setakat
pangkah ‘dacing’ atau ‘bulan’, tetapi ialah satu proses. Proses demokrasi itu
perlu betul. Misalnya tempoh kempen dalam pilihan raya – kalau dulu tempoh
kempen ialah 30 hari, sekarang lapan hari pun ada. Kalau begitulah singkatnya
tempoh kempen, bagaimanakah kita hendak meraikan proses demokrasi setiap
lima
tahun sekali? Bagi
saya, tempoh berkempen paling kurang sebaik-baiknya ialah 15 hari. Inilah yang
saya katakan demokrasi itu bukan sekakar pangkah, tetapi lebih dari itu.
S) Bagaimana mahu menggalakkan
golongan profesional, intelek ini mendaftar?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Dari segi kemudahan yang disediakan SPR sudah lebih
dari mencukupi. Mereka boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos, pejabat SPR
pada bila-bila masa sahaja. Apa lagi patut dibuat untuk menggalakkan mereka
mengundi? Jika dengan segala kemudahan itu pun mereka masih belum mendaftar,
nyata golongan ini adalah warganegara tidak bertanggungjawab kepada negara.
Satu langkah lain yang boleh diambil SPR ialah memperkenalkan pendaftaran
secara automatik.
S) Apa cadangan Dr. dalam perkara
ini?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: SPR sepatutnya telah lama berubah, mereka perlu
menggunakan satu pendekatan lain. Fungsi SPR sekarang ialah mendaftar pengundi,
menyemak daftar pemilih dan menguruskan proses pilihan raya. Daftar pengundi
ini tidak perlu lagi kerana setiap warganegara mencapai umur 21 tahun,
sepatutnya menjadi pengundi automatik.
S) Tetapi jika tiada sambutan semasa
hari pengundian, bukankah itu juga tidak bermakna?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Pendaftaran secara automatik ialah mereka mendaftar
sebagai pengundi. Ia boleh menghapuskan isu pengundi hantu. SPR juga kena
mengubah sistem – tidak perlu lagi undi pos. Soal tidak pergi mengundi adalah
hipotetikal sebab sekarang ini kita berkempen di dua peringkat – satu suruh
mendaftar sebagai pengundi dan satu lagi ialah keluar mengundi. Kalau kita
hapuskan soal pendaftaran, kita hanya perlu berkempen di satu peringkat sahaja,
ini menjimatkan kos. Saya harap SPR dapat melakukan tiga perkara ini iaitu
mengundi menggunakan cap jari, menilai kembali undi pos dan pendaftaran secara
automatik.
S) Jika SPR melakukan tiga perkara
ini, adakah ia benar-benar dapat menarik minat golongan profesional ini menjadi
warganegara yang baik?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Saya yakin dapat kerana bila kita telus, kita akan
melihat politik itu ada persaingan. Apabila ada persaingan, politik akan
menjadi meriah dan bila suasana ini muncul maka ramai orang akan keluar
mengundi.
S) Adakah golongan yang tidak
mendaftar ini sedar bahawa mereka sebenarnya turut berperanan menentukan masa
depan bangsa dan negara?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Mereka sedar tetapi mereka tidak mementingkan
kepentingan negara kerana yang lebih mustahak adalah kepentingan peribadi.
Inilah contoh apa yang dikatakan manusia yang gagal. Mereka hanya memikirkan
diri sendiri dan tidak memahami kepentingan masyarakat umum. Padahal
kepentingan diri, seperti kata Rousseau, akan secara automatik terbela bila
kita menjaga dan membela kepentingan umum. Bila seseorang itu memikirkan
kepentingan diri saja, pemikirannya tidak luas, hasratnya tidak berkembang.
S) Adakah orang begini dibentuk oleh
persekitaran?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Orang begini dibentuk oleh sikap dalaman dirinya
sendiri. Mereka tidak melihat perlunya masyarakat dalam hidup. Sebab merasakan
mereka tidak memerlukan bantuan orang lain, cukup dengan apa yang ada untuk
menyelamatkan diri dan keluarga sahaja.
S) Mengapa fahaman begini tidak
mempengaruhi masyarakat Cina?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Kerana mereka cerdik berpolitik. Ini biasa berlaku
pada golongan minoriti, bila mereka merasakan kehidupan terancam, mereka akan
bersatu. Politik Cina seperti pendulum — swing and continue to swing. Di
bandar-bandar, mereka memilih pembangkang kerana yakin pembangunan tetap
berlaku. Pokoknya, kaum Cina ialah mereka pilih parti yang boleh membela
kebajikan mereka.
S) Apa beza masyarakat Cina di bandar
dan di kampung dari konteks kesedaran berpolitik?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Masyarakat Cina di mana-mana sahaja bijak berpolitik.
Di bandar mereka menyokong pembangkang kerana yakin pembangunan tetap berjalan
walaupun dikuasai pembangkang. Di kampung, masyarakat Cina boleh berbaik dengan
sesiapa sahaja dan menyokong parti mana pun yang boleh membawa keuntungan
kepada mereka. Saya bagi contoh di kampung saya ada seorang bernama Ah Chong.
Kampung saya 99 peratus Melayu kecuali Ah Chong ini seorang berketurunan Cina.
Kerjanya menjual kopi. Tetapi kedai dia sentiasa penuh. Sebab kedai dia
sahajalah yang orang Pas dan UMNO boleh duduk sebelah-menyebelah. Tetapi di
kedai Melayu, kalau dia Pas, dia tidak suka orang UMNO masuk minum di kedainya,
begitu juga sebaliknya. Ini sikap orang Melayu, mereka taksub. Bila taksub
mereka tidak ada fleksibeliti dalam memahami dan mentafsir politik. Sedangkan
orang Cina kerana mereka minoriti, mereka bersatu dan cerdas dalam tindakan
politik mereka. Dalam kes Ah Chong ini, dia tidak kisah pada politik asalkan
tidak berkelahi dengan orang Melayu dan perniagaannya untung. Tetapi orang
Melayu suka bergaduh sesama sendiri dan tidak menerima perbezaan pendapat.
Sebab itu saya anggap masyarakat kita masyarakat yang cukup feudal.
S) Apa kesannya kepada masa depan
Melayu sekiranya sikap golongan ini kekal begini?
J) DR. MOHAMMAD AGUS: Kita memerlukan satu paradigma baru untuk mengubah apa
yang telah kita ada kepada satu tingkat yang lebih baik. Politik Melayu kena
selangkah ke depan dan kita tidak boleh lagi puas dengan status quo, kita tidak
boleh kekal dengan pemikiran feudal dan berasa selesa dengan apa yang kita ada.
Pada alaf baru dan era globalisasi, orang Melayu mesti bersedia mendepani
cabaran. Orang Melayu mesti sedar banyak cabaran menanti di depan, bukan saja
dalam soal politik dalam negara tetapi juga kepada soal-soal yang lebih besar.
Saya fikir peranan ini mesti dimainkan oleh agensi-agensi Melayu, parti-parti
politik Melayu serta ketua-ketua masyarakat Melayu untuk menyedarkan orang
Melayu. Kalau kita masih dengan pendekatan seperti sekarang,
lima
tahun lagi orang Melayu akan menjadi
seperti ‘katak di bawah tempurung’. Sikap politik dan cara berpolitik orang
Melayu mesti berubah. Sistem politik Melayu pada hari ini mungkin relevan 50
tahun dulu tetapi selepas 50 tahun merdeka kita kena mengambil langkah baru
dalam hendak membina parti Melayu yang kukuh ke hadapan. Jika kita tidak
berubah, sekiranya sesuatu berlaku pada kita hari ini, kita akan bersalah
kepada generasi akan datang.